BERDASARKAN rukun Islam keempat yang mewajibkan kita memberikan zakat
dan fitrah, maka dengan sendirinya kita akan menyedari pentingnya satu bentuk
‘persyarikatan’ dalam pengagihan sumber rezeki supaya ia dapat dinikmati semua
golongan.
Mereka yang berjaya, hidup bahagia dengan segala kecukupan makanan,
pakaian, wang ringgit dan harta benda, sewajarnya bersyukur serta menyedari
semua itu datangnya daripada pemberian dan rahmat Allah SWT.Bagi si miskin yang
malang dan menderita, tidaklah bererti ia harus melalui kehidupan ini dengan
perasaan rendah hati, kecewa serta putus asa. Sebaliknya mereka wajarlah
menghadapinya dengan penuh kesabaran.
Dari aspek sosial, amalan sedekah adalah satu jalan tengah atau sebuah
saluran bagi golongan kaya dan mampu memberikan pertolongan serta simpati
kepada golongan miskin yang kurang bernasib baik.
Jelasnya, sedekah bukan saja bertujuan membantu sesama ummah, malah
melanjutkan kesinambungan wadah silaturahim serta semangat kekeluargaan antara
manusia sejagat di samping memberikan penekanan supaya seseorang itu tidak
terlalu mementingkan keperluan sendiri saja.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya
tangan yang memberi itu adalah lebih baik daripada tangan yang menerima”.
Dalam suatu riwayat, Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan seorang
sahabat yang menangguhkan bayaran upah kepada seorang hamba: “Janganlah sampai
berlaku kezaliman dan penganiayaan dari orang kaya kepada orang miskin, serta
berikanlah upah untuk pekerjamu sebelum kering peluh didahinya.”
Menurut hadis At Tirmizi oleh Mutafaq Alaih dinyatakan
bahawa: “Akan mampu terjauh seseorang Muslim itu daripada bahang kepanasan api
neraka walaupun hanya dengan memberikan sebiji tamar sebagai sedekah.”
Fungsi sedekah daripada kaca mata Islam sesungguhnya adalah besar dan
luas. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Aku ini amat pemurah dan penyayang, kepada mereka yang
menghubungkan silaturahim dan memperbanyakkan sedekah nescaya akan Aku
tambahkan rezeki kepadanya, tetapi kalau mereka memutuskan perhubungan, kikir
dan kedekut nescaya kupendekkan rahmatku kepadanya.” (Surah Al-Baqarah, ayat
26)
Bagaimanapun, menjadi lumrah bahawa kebanyakan manusia mudah lupa
daratan serta banyak terpengaruh dengan dorongan kehendak nafsu tamak dan
haloba, tanggapan dan penerimaan mereka terhadap kekayaan harta benda
menjadikan mereka lupa bahawa di akhirat nanti ada tiga perkara yang disoal
iaitu ke mana umurnya dihabiskan, bagaimana hartanya dibelanjakan dan apa
amalannya ketika hidup.
Menurut pandangan Islam, sedekah itu tidak terbatas kepada pemberian
dalam bentuk kebendaan serta wang ringgit saja. Nabi
Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Berikanlah sedekah walaupun dengan hanya
sebuku roti atau sebuah senyum yang manis.”
Dalam sebuah riwayat daripada Jabar dan Anas: “Bahawa aku
pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya orang-orang yang
dengan ikhlas mengalihkan batu atau mengubahkan ranting kayu yang menghalang
perjalanan lalu lintas orang ramai di sebatang jalan pun adalah dikira mendapat
pahala sedekah, dan pada tiap pohon serta tanaman yang dikerjakan oleh petani
lalu apabila buahnya dimakan oleh unggas atau burung maka itupun juga adalah
dikira sebagai sedekah.”
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Akan beroleh
pahala yang besar bagi seseorang Muslim apabila bau dari masakannya tercium
oleh jiran sebelah lalu kemudian bergegas dia pergi untuk menyedekahkan
semangkuk. Dan tidak ada syafaat bagi seseorang Muslim apabila dia sihat dan
kenyang tetapi di sebalik dinding ada jirannya yang susah dan lapar.”
Dalam sebuah syair Arab dikatakan bahawa perbuatan memburu serta
menambun harta benda dunia ini tidak ubah seperti perbuatan kita memburu
bayang-bayang, ia sememangnya tak pernah akan kesampaian dan mencukupi, lantaran
semakin banyak anggur hidup ini diminum maka semakin lagi terasa dahaganya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu
adalah sentiasa tamak dan haloba, jikalau aku berikan sebuah lembah emas maka
nescaya ia tidak pernah merasa cukup lalu kemudiannya meminta lagi.”
Sementara itu, menurut keterangan ulama, sedekah itu adalah antara
amalan yang boleh menghapuskan dosa. Andainya konsep amalan sedekah dapat
dilaksanakan sepenuhnya, maka sudah tentu akan segera berkembang sebuah
institusi ummah di mana tidak akan ada mereka yang terlalu kaya tetapi dari
sudut lain ada yang daif dan fakir.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya
syurga itu terdiri daripada banyak kunci, maka salah satu anak kunci syurga
ialah pahala sedekah”.
Tambah Baginda SAW lagi: “Bila-bila pun sedekah itu
sentiasa mendapat ganjaran pahala, namun sedekah yang paling utama serta tinggi
darjatnya ialah sedekah yang diberikan pada bulan Ramadan.”
Oleh Zahari Hasib
Tidak akan pernah berkurang harta yang disedekahkan kecuali ia bertambah…
bertambah… bertambah (HR.At-tirmidzi)
Siapa yang memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah
akan melipatgandakan balasannya dan baginya pahala yg mulia
(QS. Al-hadiid 57:58)
Janganlah kamu takut kepada kemiskinan karena membelanjakan harta di jalan
Allah
(QS.Al-Baqarah 2:245)
Kamu tidak akan memperoleh kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan
(hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang kikir dan siapa yang
kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap diri sendiri. Dan Allah lah yang
Maha Kaya sedangkan kamu orang-orang yang membutuhkan Nya
(QS.Muhammad :38)
Dan Allah senantiasa memberi pertolongan kepada hambanya selama ia menolong
saudaranya
(HR.Muslim)
Perbanyaklah SEDEKAH, karena di dalamnya terdapat KHASIAT :
- Menyembuhkan berbagai penyakit.
- Menjauhkan dari segala macam kesulitan & masalah.
- Diselamatkan dari segala keburukan.
- Menenangkan hati dan jiwa.
- Melapangkan rezeki.
No comments:
Post a Comment