Wednesday, 17 July 2013

Menangislah Wahai Saudaraku

Tangisan adalah suatu fitrah bagi setiap makhluk bergelar manusia. Sejak dari awal kelahirannya, hinggalah ke akhir hayat setiap manusia, pasti tangisan akan menghiasi kamar hidupnya. Banyak punca yang menyebabkan air mata berlinangan namun berapa ramaikah dari kita yang tangisnya adalah kerana takutnya ia akan Allah s.w.t?. Berapa ramaikah dari kita yang menangis akibat menghitung setiap inci dosa dan noda yang telah kita lakukan?.
 
Wahai saudaraku, ketahuilah olehmu bahawa tangisan yang jatuh ke bumi kerana takutkan Allah membawa makna bahawa kita termasuk dalam golongan orang yang beriman kepada Allah sebagaimana firman Allah s.w.t
“ Dan takutlah kepadaKu, jika kamu benar-benar orang yang beriman” (Surah Al-Imran : 175)
 
Wahai saudaraku yang kukasihi, menangis kerana Allah akan mengangkat martabat diri hingga termasuk dalam golongan penghuni syurga Allah yang penuh dengan segala kenikmatan yang tiada tolok bandingnya. Bahkan darjat juga akan ditinggikan oleh Allah selaras dengan janjiNya yang berbunyi
“Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga” (Surah Ar-Rahman : 46)
 
Seorang khalifah yang agung dimuka bumi Allah ini tidak pernah asing dengan tangis dan hiba saat meratapi akan segala dosanya kepada Al-Ghafur. Lihat sahaja mereka yang dekat dengan Tuhan sekalian alam seperti kekasih Allah, Rasulullah s.a.w, para sahabat r.a, para tabi’in dan tabi’tabi’in , semuanya bercucuran air mata kerana takutnya mereka kepada Allah.
 
Rasulullah s.a.w sendiri menangis kerana takutkan Allah. Seorang Nabi dan kekasih Allah yang dijanjikan syurga dan maksum. Pernah suatu ketika sedang Rasulullah s.a.w duduk bersama-sama dengan para sahabat, tiba-tiba baginda menoleh pandangannya kearah sekumpulan manusia seraya bersabda “Apakah yang sedang mereka lakukan?”.
 
Salah seorang dari sahabat menjawab, “Mereka sedang menggali kubur untuk mengebumikan seorang yang telah meninggal dunia.”
 
Sebaik mendengar jawapan itu, Baginda berganjak dari tempat duduknya dan berjalan pantas mendahului para sahabatnya. Akhirnya baginda tiba di tanah perkuburan itu dan mencangkung berhampiran kubur tersebut. Para sahabat mengambil tempat dihadapan Baginda Rasulullah agar dapat melihat apa yang akan dilakukan oleh Baginda. Mereka melihat Rasulullah s.a.w menangis sehingga air mata menitis ke pipinya kemudian berkata kepada sahabat, “Wahai saudara-saudaraku, kalian harus mempersiapkan diri untuk menghadapi peristiwa seperti hari ini (kematian).”Bagitulah ketakutan Kekasih Allah yang mulia. Bagaimanakah dengan kita sebagai umatnya?.
 
Menangis kerana takutkan Allah akan menyelamatkan kita dari seksaan dan azab Allah yang pedih, menempatkan kita didalam syurgaNya dan menikmati segala kenikmatan yang tidak dapat dibayang oleh akal fikiran.
 
Ubay bin Ka’ab berkata, “kalian harus memegang ajaran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Bukan termasuk orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringat seksaan Allah, namun dia tidak menitiskan air mata kerana takut kepada seksaNya. Maka orang seperti ini akan bersama-sama api neraka untuk selama-lamanya”.
 
Orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringatkan Allah, maka pasti akan ketakutan dan bergetar jantungnya kerana takut pada siksaan Al-Muntaqim. Dosa-dosa orang seperti ini akan berguguran seperti mana gugurnya daun-daun dari pohon yang ditiup angin.
 
Hisaplah diri kita sejenak, bermuhasabahlah dan berfikirlah perihal kehidupan di negeri yang kekal abadi. Adakah kita pernah menangisi dosa-dosa kita?. Bilakah kali terakhir pipi dibasahkan dengan linangan air mata keinsafan?. Hanya Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat segala sesuatu perbuatan. Moga dikurniakan Allah dengan perasaan ketakutan terhadap dosa.
 
Menangislah, Wahai Saudaraku…

By: Ad-Dien

 

No comments:

Post a Comment