Kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan. Memang langsung tidak dinafikan ayat ini. Bagi saya sendiri, semakin banyak kita berjalan, semakin banyak kita merasai rasa lelah, semakin banyak yang akan kita pelajari dalam hidup. Dan frasa pemandangan itu, mungkin juga membawa maksud pelbagai corak kehidupan yang dapat kita lihat, yang mungkin sangat berbeza dari kehidupan kita dan akhirnya, setiap pemandangan itu membuka mata kita sepenuhnya.
Membuka mata kita untuk melihat dari sudut yang berbeza.
Membuka mata kita untuk melihat dari sudut yang berbeza.
Munkin sebelum ini cara pandang kita terhadap kehidupan sangat berbeza. Apatah lagi apabila kita ibarat berada di ‘dalam kepompong yang lengkap’. Yang dimana kita merasa bahawa kehidupan kita sudah sangat lengkap, walhal sebenarnya tidak. Dan mungkin sebelum ini cara kita ‘memandang’ Tuhan itu berbeza.
Ya, memandang Tuhan.
Ada orang di luar sana, ada orang walaupun hidup dalam Negara Islam, masih tetap tercari-cari apakah sebuah keindahan didalam agama Islam untuk lebih rapat kepada Allah SWT. Dan jangan hairan apabila ada orang yang belajar di universiti Islam, kolej Islam juga masih belum menemui Tuhannya. Masih tetap tidak mengenal Allah SWT, walaupun mereka tahu Allah SWT itu siapa. Sebab itu saya kata, jangan nilai seseorang itu berdasarkan dari mana dia belajar. Sebab itu bukan kayu pengukurnya untuk mengenal Allah SWT.
Mencari Kehidupan
Jiwa itu, apabila sudah lama dan jauh perjalanannya dengan jiwa yang kosong, lambat laun akan tercari-cari erti kehidupan yang sebenarnya. Dan ingin saya kongsikan satu kisah seseorang yang saya kenali dahulu sebagai orang yang selamba dan ‘sangat sederhana’ dalam agama. Beliau berpeluang menyambung pelajaran ke luar Negara. Dan cuba teka. Negara itu adalah Negara yang bukan Islam. Sekilas fikir, Negara bukan Islam. Apakah ada tarbiyah di sana? Apakah ada keindahan agama Islam di sana? Sebelum beliau melanjutkan pelajarannya, saya sempat bersembang-sembang kosong dengannya. Dan dia berkata, “dengan penghijrahan ini, aku harap aku temui makna hidup.” Dan saya rasa, dengan perkembangan diri dia sekarang dia sudah menemui makna kehidupan. Alhamdulillah.
Islam itu, ada di mana-mana. Negara Islam bukanlah penjamin bahawa penduduknya akan menemui keindahan Islam didalamnya. Bukankah Allah Ta’ala memelihara agama ini dan meredhainya? Mana mungkin keindahannya hanya terhad dalam beberapa buah Negara sahaja, bukan? Itu sangat pasti!
Sebab itu, Islam sangat menggalakkan penganutnya untuk mengembara jauh dari tanah kelahiran. Dan betullah saranan Imam Al-Ghazali dan Imam Asy-Syafie, mereka sangat-sangat menggalakkan untuk keluar dari rumah mengembara. Kerana pada kembara itu ada banyak hikmah. Dan salah satunya, cara pandang terhadap kehidupan itu akan lebih meluas.
Pada kembara itulah kita akan mengenal ramai manusia yang mempunyai banyak ragam. Kita akan bertemu dengan manusia yang sebenar dan manusia yang palsu. Dengan kembara itu jugalah kita akan menimba banyak perkara. Dari sekecil-kecil perkara sehingga yang sebesar-besarnya. Dan kita akan belajar sesuatu daripada itu semua hanya apabila kita sendiri yang dengan rela membuka mata hati.
Pada Kelembutan Erti Hidup
Allah SWT itu, Tuhan yang mengakui dirinya Tuhan Yang Maha Mengasihani, Yang Maha Mengampuni, Yang Maha Memberi ketenangan jiwa. Menyelusuri sejarah pahit dan manis para Nabi dan Rasul serta orang-orang terdahulu yang telah dibuktikan kekuasaan-Nya, maka memang tiada keraguan untuk setiap sifat-sifatNya yang mulia.
Bagi orang-orang yang pernah merasa kesamaran dalam mencari semula erti hidup, maka dia pasti faham bagaimana kesengsaraan jiwanya menanggung rasa kekosongan sehinggalah dia menemui makna yang sebenarnya kepada erti hidup. Erti hidup yang membawa untuk mengenal-Nya. Dan dia sangat merasa bahawa ruginya dia selama ini. Dalam kerugian itu, sudah pasti banyak titik noda dosa yang terkumpul. Baru terasa betapa hinanya diri sendiri.
Baru tersedar dari lamunan bahawa dia sudah lama terkeluar dari landasan sebenarnya.
Maka, apakah tiada pengampunan dari Allah Ta’ala?
Allah Ta’ala berfirman di dalam surah al-Hijr, ayat 49-50.
“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu, bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani dan bahawa azab-Ku adalah azab yang pedih.”
Nampak? Pada setiap rasa sesalan akan masa lalu yang terbiar dipalit dengan noda-noda hitam, pasti ada pengampunan dan kerahmatan dari-Nya.
Allah SWT tidak akan berkata ‘TIDAK’ kepada hamba yang dating kepada-Nya.
Membuat Hidup Lebih Bererti
Untuk sebuah erti hidup, jangan sesekali merasa hilang daya, hilang sebuah harapan terhadap Allah, Tuhan Yang Menguasai hati-hati manusia. Dan, sekali menemui erti hidup, maka banyakkanlah usaha untuk lebih membuat hidup bererti. Di dunia, mungkin setiap usaha kecil itu hanya akan dipandang tiada. Tapi percayalah bahawa di sisi Allah, yang kecil itu mungkin pembawa natijah yang besar dan begitu juga sebaliknya.
“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Juga mereka yang khusyuk dalam solatnya. Juga mereka yang menjauhkan diri daripada yang lagha.”
– al Mukminun : 1-3
Perjalanan waktu yang tidak mengenal erti ‘berhenti’, tetap akan terus berlalu pergi meninggalkan manusia. Semua yang ditinggalkan itu berada dalam sia-sia kecuali mereka yang benar-benar membuat erti sesuatu untuk hidup. Kita diciptakan berada dalam lingkaran waktu yang tidak peduli sama ada manusia itu rugi atau untung. Kerana yang bertanggungjawab dalam mencorak kehidupan adalah manusia itu sendiri.
Pencarian dalam hidup pasti akan terus-menerus berlangsung. Masih banyak yang perlu diterokai keindahan rahsia dalam hidup bertuhan. Semakin banyak berjalan mencari erti hidup, semakin banyak perkara yang disedari belum diketahui.
Namun apa yang pasti,
pintu-Nya belum tertutup lagi!
Semoga ALLAh merahmati.
No comments:
Post a Comment